Teman Di Dalam Kubur

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada
 syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al - Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya"

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima
Allah.Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal  dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang  kacak akan berdiri di bahagian kepalanya"

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang  mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang  ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir  cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat  pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia  adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam  keadaan apa sekalipun.Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" .Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan  Munkar dan Nakir ini,engkau tidak akan berasa dukacita lagi"

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan  mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang  itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu  kita adalah orang-orang yang rugi.>

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal  dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak  akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita  jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia.

Allah telah menjanjikan Al - Quran sebagai pemberi  syafaat terulung dan Allah itu adalah benar. Dekatilah Al - Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat. Semoga Allah  swt memberikan kita restu dan hidayahnya..... AMIN!!!


©Cynari Creation 2001