Make your own free website on Tripod.com

Kembara Ke Tasik Utara

Catatan Kembara Ke Tasek Utara 1974 ------------------------------------------------------ Apabila saya sampai ke Tasek Utara jam baru pukul 7 pagi. Penduduk kampung setinggan ini telah berkeliaran tanpa halu tujuan kerana kehidupan mereka telah menjadi porak peranda. Saya ternampak anak-anak kecil yang memakai pakaian sekolah yang cuba meneruskan hidup mereka seolah-olah tidak ada sesuatu yang telah berlaku. Dua hari dahulu kampung ini telah diserang oleh pengganas-pengganas dari Majlis Perbandaran Johor Bahru dengan bantuan polis. Papan-papan dinding dan atap zing bertaburan di tanah. Ada rangka dan tiang rumah yang robek tapi masih tegak berdiri. Hanya ada sederet rumah yang gagal dirobohkan dan sedang dikawal rapi oleh penghuninya. Tasek Utara, tiga batu dari Johor Bahru adalah kawasan tanah yang diterokai oleh penduduk miskin di kota - buruh kasar, pembantu kedai, askar pencen dan peniaga warung dan termasuk pekerja majlis perbandaran sendiri. Lembah ini dikelilingi oleh kawasan perumahan kelas menengah yang telah agak lama berdiri. Janji Umno sebelum pilihanraya Penerokaan Tasek Utara ini bukan dilakukan secara sembrono. Saya ternampak tanda-tanda borang banci rasmi dari majlis perbandaran yang masih terlekat di kepala pintu. Pembancian dan pemberian nombor lot dilakukan secara rasmi sebelum pilihanraya Ogos 1974. Malah sebelum piliharaya, semua penduduk kampung ini telah diberikan janji bahawa mereka akan mendapat hak di kawasan ini dengan syarat menubuhkan cawangan Umno dan mengundi Umno. Lalu untuk menjaga keselamatan kampung, penduduk telah membaptiskan kampung mereka dengan nama Kampung Barisan Nasional. Rumah yang dimiliki oleh ketua cawangan Umno kampung ini masih lagi mengibarkan bendera Umno, walaupun dia telah berundur hilang. Saya sampai ke Tasek Utara secara tidak sengaja, tanpa dirancang. Saya masih teringat lagi petang 14 September 1974, dua puluh lima tahun dahulu. Saya dan beberapa orang aktivis persatuan sedang bersembang kosong di dalam bilik pejabat Mat Zain Daud, Naib President Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) apabila dua telegram sampai. Isinya pendek: "Kampung kami di Tasek Utara akan dirobohkan. Tolong bantu kami. Penduduk Kampung Tasek Utara Johor Bahru." Tidak ada nama yang tertera dan saya tidak tahu hujung pangkal asal-usul telegram ini. Saya terus membuka telegram kedua yang berbunyi: "Aku berada di Tasek Utara Johor Bahru. Syed Hamid Ali." Kini, saya menyedari yang telegram ini bukan satu "April Fool." Si pengirimnya ialah bekas Presiden PMUM dan kenalan baik saya. Ini meyakinkan bahawa saya perlu melakukan sesuatu. Menumpang van akhbar ke JB Sayangnya waktu pejabat telah berakhir dan tidak ramai anggota majlis ke-16 PMUM yang berada di sekitar urusetia untuk membuat keputusan bersama. Lalu saya mengambil keputusan untuk pergi melihat sendiri dengan tujuan membuat laporan kepada persatuan. Pada sebelah malam, saya bersama Yunus Ali, yang juga anggota majlis, telah pergi ke Jalan Riong untuk menumpang van akhbar New Strait Times yang akan bertolak ke Johor Bahru sesudah tengah malam. Walaupun PMUM merupakan sebuah persatuan pelajar yang paling kaya di Asia Tenggara ketika itu, saya sebagai Setiausaha Agungnya hanya diberi sepuluh ringgit untuk tambang perjalanan. Kami membayar lapan ringgit sebagai harga "penumpang haram" kepada pemandu van dengan perjanjian yang kami akan menyorokkan diri di atas timbunan akhbar. Esoknya, jam 5 pagi kami diturunkan berhampiran stesen keretapi Johor Bahru. Kerana terlalu awal sampai, kami tidak tahu arah yang wajib kami tuju. Setalah dua jam kemudian, barulah kami dapat mengambil "teksi sapu" yang membawa kami ke Tasek Utara. Saya tidak akan dapat melupakan imejan pertama apabila saya memasuki Tasek Utara. Seorang kakak yang memakai baju kurung berwarna putih dan berkain batik coklat yang lusuh warnanya berdiri dimuka pintu, memanggil saya masuk ke dalam rumahnya. Dinding rumahnya yang masih kelihatan merah, menandakan papan itu baru dibeli. Anaknya dalam buaian kain batik sedang nyenyak tidur. Suaminya sedang memburuh. Kakak ini menerangkan bagaimana dia telah bergadai untuk mendapatkan 600 ringgit bagi mendirikan rumahnya itu seluas 15 kaki persegi ini. Dua hari dahulu dapurnya telah diruntuhkan. Umur saya yang begitu muda menjadikan saya tidak sanggup untuk bertentang mata mendengar surah penderitaan seorang ibu. Saya juga sedar kakak ini sedang menaruh segunung harapan daripada kami, pelajar universiti untuk melakukan sesuatu. Saya juga sedar bahawa saya tidak mempunyai sezarah kudrat pun untuk mengubah apa yang sedang berlaku. Sokongan siswa Universiti Singapura Dalam detik-detik yang genting ini saya diselamatkan oleh panggilan "ketua kampung" dan Syed Hamid Ali yang telah sedar kesampaian kami. Saya diberitahu bahawa kemungkinan pengganas dari majlis bandaran akan datang menyerang lagi. Beberapa penduduk telah mula berkumpul, termasuk seorang lelaki India. Semuanya dengan harapan kami dari Universiti Malaya akan dapat memberi jawapan kepada masalah yang sedang mereka hadapi. Hampir jam 10, keadaan menjadi lebih ceria apabila sekumpulan mahasiswa dari Universiti Singapura sampai. Mereka juga ingin menunjukkan simpati terhadap nasib penduduk Tasek Utara. Saya juga menjadi lebih selesa kerana telah mendapat sokongan dari Kesatuan Pelajar Universiti Singapura (USSU). Salah seorang daripada mereka membawa kamera untuk merakamkan apa yang berlaku. Tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut apabila sekumpulan "musuh" muncul - seorang pegawai polis yang diiringi oleh tiga orang anggota FRU. Pegawai polis ini datang dengan tujuan untuk menggertak dan menakut-nakut penduduk yang kini telah mula berani kerana mahasiswa telah berada bersama mereka. Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh musuh itu. Akhirnya, setelah mereka melihat dan mengintai-intai kawasan kampung, mereka pun berundur. Bila keadaan menjadi tenang dan selesa, kami mengadakan perbincangan tentang apa yang harus kami buat. BAHAGIAN 2 ---------- Pelajar dari Universiti Singapura yang datang ke Tasek Utara kebanyakannya rakyat Malaysia. Mereka telah mengetahui kes Tasek Utara lebih awal, berbanding mahasiswa di Kuala Lumpur. Ini kerana ada di antara mereka yang berasal dari Johor Bahru dan telah mendengar berita kawasan setinggan itu dirobohkan. Mereka juga telah membaca berita ini dari akhbar-akhbar Cina. Jadi apabila orang-orang kampung yang berkumpul di sekeliling kami mula bersurah dengan tidak teratur tentang apa yang telah berlaku kepada mereka, saya merasakan ini maklumat baru dan penting. Saya mendengar dengan teliti. Saya juga melihat kemunculan beberapa orang kampung yang mungkin telah dilantik atau muncul tersendiri sebagai pemimpin - kerana umur dan pengalaman - bersurah dengan penuh semangat; antara mereka, Abang Amin dan Pak Majid. Sedang kami berlabon tiba-tiba, kampung menjadi gegak-gempita sekali lagi. Suara jeritan bersimpang siur. Pengganas dari Majlis Perbandaran Johor Bahru, pada awalnya telah berundur, kini datang kembali dengan bantuan polis dan FRU. Mereka terus menyerang dan merobohkan rumah yang masih tegak berdiri. Kami cuba meredakan keadaan tapi pengganas-pengganas jelaslah tidak lagi mempunyai sifat kemanusiaan. Pengganas datang lengkap bersenjatakan tukul besi, gergaji dan besi tajam. Mereka memasuki setiap rumah dan memotong tiang tengah, agar rumah ini runtuh. Tiang dan kayu beluti dipotong pendek. Syed Hamid ditahan polis Papan-papan dinding akan dirobek. Atap-atap zing yang bertaburan akan dicucuk dengan besi tajam agar bocor. Pinggan, mangkuk, tempayan dan tong air dipecahkan. Kawasan kampung menjadi padang jarak padang terkukur, bertaburan dengan tembikar dan kaca. Raungan dan tangisan anak-anak yang ketakutan kedengaran di sana sini. Ibu-ibu cuba melarikan anak-anak jauh dari tempat keganasan. Beberapa orang ayah cuba menghalang si pengganas tapi telah ditangkap polis. Di sebuah rumah, seorang bayi sedang nyenyak tidur dalam buaian. Seorang pengganas telah datang dengan tukul besi dan terus memecahkan dinding rumah. Syed Hamid Ali, bekas presiden PMUM berlari masuk ke dalam rumah ini dan terus memeluk tiang tengah dan enggan keluar walaupun diugut bahawa rumah ini akan diruntuhkan. Anak kecil di dalam buaian sempat diselamatkan oleh ibunya. Akhirnya Syed Hamid bersama lapan orang kampung ditahan. Setelah pengganas-pengganas itu berundur, kami pun berkumpul kembali. Kami memungut kain baju dan pinggan-mangkuk yang bertaburan. Rumah-rumah yang boleh diperbaiki, kami bergotong-royong membetulkannya. Untuk rumah rumah tidak boleh diselamatkan, penghuninya digalakkan menumpang di rumah saudara mara. Di dalam kemelut ini, seorang abang bekas askar telah menawarkan tempat di No 11, Jalan Tarom sebagai tempat penempatan sementara. Rumah di Jalan Tarom hanya langkah sementara dan tidak mungkin berbelas-belas keluarga tinggal di dalam sebuah rumah. Kami berbincang sementara menunggu dan melihat apa yang telah terjadi kepada mereka yang ditahan. Nasib mereka memang baik kerana semua yang ditahan dibebaskan pada sebelah petangnya tanpa apa-apa tuduhan. Lalu kami berkumpul dan mengambil keputusan agar tuntutan para peneroka untuk memiliki rumah wajib diajukan terus kepada Menteri Besar, Osman Saat. Orang-orang kampung juga bersetuju untuk keluar beramai-ramai ke pejabat Menteri Besar. Berita tersebar di UM Saya, yang masih tidak mempunyai mandat dari PMUM enggan untuk mengambil apa-apa keputusan. Saya menerangkan kepada orang kampung bahawa saya perlu membincangkan hal ini terlebih dahulu kepada persatuan untuk mendapat sokongan terhadap apa saja tindakan seterusnya. Untuk itu, saya wajib pulang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat dengan Jawatan Kuasa Kerja (JKK) PMUM. Esoknya, sesampai sahaja di kampus dan tanpa melengahkan masa saya memberikan laporan kepada JKK majlis ke-16 PMUM. Keputusan PMUM ialah, menderma 250 ringgit kepada peneroka Tasek Utara dan mengadakan sudut pidato untuk mendemokrasikan berita yang telah berlaku di Tasek Utara. Persatuan Anak-anak Johor Universiti Malaya telah diberitahu tentang apa yang berlaku. Secara spontan, persatuan ini memberikan sokongan. Di sudut pidato ini, telah diumumkan sokongan yang telah diterima oleh peneroka - Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM), Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM), Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya dan Kelab Sosialis telah memberikan sokongan. Anak-anak Johor dengan lantang telah bangun menyuarakan kemarahan mereka terhadap Umno dan keganasan yang dilakukan kepada orang Melayu di Tasek Utara. Wang kutipan sebanyak 75 ringgit berjaya dikumpul di sudut pidato, hari itu. Dengan sokongan yang hangat, PMUM tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menghantar satu kumpulan mahasiswa ke Tasek Utara. Selesai saja sudut pidato, sebuah bas berisi 50 orang mahasiswa telah bertolak menuju Johor Bahru. Majoriti di dalam bas ini ialah mahasiswa dari Johor. Beberapa wakil dari persatuan anak negeri lain dan aktivis kampus turut bersama ke Tasek Utara. Turut bersama mereka ialah Omar Osman, Adi Satria, Khoo Soo Wan dan Bhaskaran. Mereka adalah aktivis kampus dan ahli majlis PMUM. Di pertengahan jalan, selepas Yong Peng, bas kami ditahan polis tanpa apa-apa sebab selama dua jam. Kerana ini, kami lewat sampai ke Johor Bahru. Kami gagal berbuka puasa bersama para peneroka seperti yang telah dirancangkan. Kesampaian kami telah disambut dengan hangat. Peneroka cukup berbesar hati kerana para mahasiswa, terutama anak Johor telah datang untuk menyatakan sokongan mereka. Pada malam itu pelajar dari Johor Bahru telah pulang ke rumah masing-masing untuk menyebarkan berita Tasek Utara kepada sudara-mara mereka. Sementara yang lain tidur di dalam rumah-rumah kosong yang masih selamat digunakan. Para peneroka dan mahasiswa telah sebulat suara mengambil keputusan pergi ke Bukit Timbalan pada keesokan pagi untuk bertemu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osaman Saat. BAHAGIAN 3 ---------- Pada pagi 18 September 1974, semua peneroka telah bersedia. Anak-anak kecil memakai baju sekolah walau mereka tidak akan bersekolah pada hari ini. Sang ibu mengendung anak-anak kecil di dalam kain batik. Si ayah membawa barang-barang - harta yang terselamat daripada serangan "pengganas" MPJB semalam. Setelah semuanya terkumpul, sebuah kereta Ford tua datang. Empunya kereta ini bersimpati dengan kami. Dia berulang-alik mengangkut peneroka Tasek Utara untuk pergi ke Bukit Timbalan. Saya dan beberapa kawan telah pergi dengan "teski sapu," pemandunya pula memberikan khidmat itu percuma sebagai tanda simpati. Hampir jam 10, kami semua telah sedia berkumpul di sebelah bangunan perpustakaan. Anak-anak mahasiswa juga telah mula menyusur datang. Dari sini, kami berarak menuju ke Bukit Timbalan. Sesampai saja kami di hadapan pejabat Menteri Besar, wakil setinggan mengajukan permintaan untuk bertemu dengan Datuk Osman Saat. Malangnya, kami diberitahu, pemimpin Umno itu tidak akan masuk pejabat hari itu. Sebagai ketua peneroka yang tidak rasmi, Abang Amin telah berbincang dengan setinggan. Mereka mengambil keputusan untuk menunggu Datuk Osman. Kami pun berkumpul di bawah pokok di seberang jalan. Ibu dan anak-anak kecil mula berehat. Gendong pakaian dijadikan bantal. Kain batik dan surat khabar dijadikan tikar. Untuk berteduh sambil menunggu kedatangan MB, kami berusaha mencari khemah. Sebaik sahaja khemah terpasang, maka orang ramai yang lalu-lalang mula datang menjenguk dan tertanya-tanya. Kami pun memasang sepanduk untuk menerangkan kepada orang ramai tentang tujuan kami berkumpul. Anak-anak mahasiswa mula mengadakan sudut pidato. Keadaan ini menjemput lebih ramai orang lagi untuk mendengar kisah penderitaan peneroka Tasek Utara. Pelajar antarabangsa kirim sokongan Pada sebelah petang, datang pula seorang hamba Allah mendermakan seguni beras. Akhbar Cina siaran petang memberikan liputan yang adil terhadap kes setinggan itu. Melalui berita ini, beberapa kumpulan dan persatuan orang Cina di sekitar Johor Bahru mula memberikan sokongan. Ikan sardin, gula, susu, tepung dan barang makanan mula sampai. Orang ramai yang lalu lalang mula menghulurkan derma. Khemah di bawah pokok di atas Bukit Timbalan terus kami jadikan kawasan perkampungan baru. Wanita dan anak-anak tinggal di satu khemah khas. Peneroka, mahasiswa dan penyokong setinggan tidur di luar khemah. Untuk orang ramai yang hairan melihat "kampong baru" ini, mereka diterangkan melalui satu poster besar (foto) bahawa penduduk miskin kota itu telah berkampung kerana rumah mereka dirobohkan. Setinggan itu sedang menunggu MB mereka yang baru saja mereka pilih. Sokongan datang mencurah-curah. Kes peneroka Tasek Utara telah menjadi berita dunia. Persatuan Pelajar Politeknik Singapura (SPSU) telah menghantar pimpinan mereka untuk bersama kami di Johor Bahru. Pelajar-pelajar Malaysia di Australia, Britain dan New Zealand menghantar telegram sokongan melalui PMUM dan mula memungut derma. Kestuan Pelajar Australian (AUS), Kesatuan Gabungan Pelajar New Zealand (NZUSA), Kesatuan Pelajar Universiti Hong Kong (HKUSU), Persekutuan Pelajar Hong Kong (HKFS), Persatuan pelajar Asia (ASA) adalah antara puluhan persatuan pelajar antarabangsa yang memberikan sokongan. Semua sokongan ini memperkuatkan semangat kami. Setiap telegram yang diterima, saya bacakan, dengan terjemahan, kepada peneroka dan orang ramai. Peneroka berasa hairan dan bangga. Hairan kerana tidak menyangka bahawa mereka akan mendapat sokongan begitu hangat. Bangga kerana mereka, walaupun miskin tetapi sanggup bangun untuk menuntut hak mereka. Setelah berbuka puasa, para mahasiswa terus memulakan siri ceramah terbuka. Lilin-lilin dan pelita terpasang di sekeliling khemah. Suasana menjadi ceria dan hidup. Sesiapa saja boleh bercakap untuk mengeluarkan pandangan dan sokongan. 'Diserang' ketika sedang nyenyak Tangga pejabat MB kami jadikan pentas. Ratusan penduduk Johor Bahru dan dari kampung-kampung di sekitar bandar telah datang berkumpul untuk mendengar perjuangan penduduk miskin kota Tasek Utara. Lewat tengah malam orang ramai mula pulang. Sang ibu dan anak-anak telah nyenyak tidur. Pemimpin peneroka dan beberapa orang mahasiswa berkumpul dan berbincang tentang tindakan seterusnya. Wang derma telah terkumpul melebihi 2000 ringgit. Derma makanan telah membusut. Lalu diputuskan bahawa kami esoknya akan meneruskan perkampungan ini sehingga peneroka dapat bertemu dengan Datuk Osman. Hampir jam 1 pagi, kami pun mencari tempat di sekitar khemah untuk meletakkan kepala. Saya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan. Apabila membuka mata, di hadapan saya berdiri seorang pegawai polis Benggali berserban. Pada mulanya saya terasa seperti sedang bermimpi tetapi suara tangisan dan jeritan kaum ibu dari dalam khemah menyedarkan saya bahawa khemah kami telah dikepung "musuh." Saya, Yunus Ali, Syed Hamid, Abang Amin dan Abang Kaliman ditangkap dan dibawa ke rumah pasung (balai polis) Johor Bahru. Jam telah lewat 3 pagi apabila kami semua dimasukkan ke dalam lokap. Inilah malam pertama saya tidur di dalam lokap - di atas simen, berbantalkan lengan sendiri dan merengkuk sejuk kerana saya hanya memakai seluar pendek. Bilik nombor 4, lokap rumah pasung Johor Bahru ini, tidak akan saya lupakan. Pengalaman 25 tahun dahulu di bilik ini telah mendidik dan menyediakan diri untuk menjadi saya yang wujud pada hari ini. Bilik lokap ini mengajar saya makna kebebasan. Malam ini juga saya didewasakan dengan pengajaran bahawa polis, penjara dan mahkamah adalah sebahagian daripada sistem daulah yang mempertahankan kaum pemodal. Diheret ke mahkamah Kami berlima tidak banyak bercakap. Kami telah bersedia untuk menghadapi mahkamah. Cuma kami berasa runsing apakah yang sedang terjadi kepada para peneroka yang telah kami tinggalkan di Bukit Timbalan. Apakah khemah perkampungan kami masih selamat? Soalan tanpa jawapan ini terus berlegar-legar di kepala saya sehingga terlelap. Saya tertidur kembali setelah diganggu Benggali berseban pada jam 3.15 pagi tadi. Esoknya, 19 September 1974, kami dibawa ke mahkamah. Ratusan orang ramai telah berkumpul mengelilingi mahkamah. Dari dalam lori polis Black Maria, saya ternampak anak-anak muda, penduduk miskin kota, pakcik warung, pekerja dan pegawai kerajaan datang, mungkin kerana simpati atau kerana ingin mengetahui dan mendengar sendiri perbicaraan kami. Saya juga ternampak mahasiswa dari Universiti Malaya - mereka telah berkumpul dalam satu kumpulan. Bersama mereka Juliet Chin dan Tan Wah Piow, pimpinan mahasiswa dari Universiti Singapura. Apabila Black Maria menghampiri mahkamah, orang ramai mara ke hadapan tetapi telah dihalang oleh polis. Saya nampak dan terdengar laungan "hidup perjuangan rakyat" daripada kawan-kawan saya di luar mahkamah. Di dalam mahkamah, Abdul Razak Ahmad, seorang peguam muda, juga bekas pimpinan gerakan mahasiswa universiti yang telah "dihalau" keluar dari Universiti Singapura oleh Lee Kuan Yew, telah bersedia untuk membantu kami. Perbicaraan kami cepat dan ringkas. Magistret wanita itu telah menolak permohonan untuk ikat jamin. Kami terus direman selama satu minggu. Dan kami berlima pun dipindahkan masuk ke dalam Penjara Air Molek. BAHAGIAN 4 ---------- Di pintu besar Penjara Air Molek, sebelum memasuki kawasan kurungan, kami beratur duduk mencangkung. Kemudian seorang demi seorang dibogelkan. Cara inilah proses pertama untuk merendahkan martabat kemanusiaan seseorang insan. Pombogelan ialah ujian awal untuk memaksa tahanan "mengikut dan mematuhi" perintah. Sesudah dibogelkan, kami ditimbang, diukur dan diberi celana pendek dengan kamiz penjara. Kerana waktu ini bulan puasa, maka semua tahanan reman yang berugama Islam dikumpulkan di dalam dua lokap. Saya bersama Yunus Ali kini dipisahkan daripada tiga kawan kami, mungkin kerana kami mahasiswa. Saya kini menginap bersama sembilan remaja Melayu yang direman kerana kesalahan-kesalahan kecil - menghisap ganja, mencuri basikal atau menjual barang curi. Bersama saya juga ada seorang lelaki, Abang Din dari Tangkak, yang agak berumur. Saya perhatikan, dia telah menjadi "taiko" lokap kami. Dia mengarahkan tahanan yang lain agar kami tidak diganggu dan diberikan tempat. Dia juga menerangkan bahawa di lokap ini tidak ada tandas. Hanya ada satu baldi, tempat untuk membuang air kecil dan besar. Najis dan kecing wajib dibuangkan setiap pagi. Telah ada jadual tersusun untuk tugas ini. Tidak banyak masalah untuk kami bermesra - bersalaman sambil memperkenalkan diri dan kes tuduhan. Mereka terperanjat kerana kami ini anak mahasiswa dari universiti. Dengan serta-merta mereka berkumpul untuk mendengar surah kami tentang Tasek Utara. Kemesraan membawa keyakinan - lalu Abang Din bercerita bahawa dia ditangkap tanpa apa-apa tuduhan. Abang Din, tuan punya sebuah kedai runcit, tetapi hati dan jiwanya tidak bersama Umno. Dia juga selalu bercakap tentang kepincangan Umno. Kerana ini, dua minggu sebelum pilihanraya dia telah ditahan dibawah Ordinan POPO. Menurut Abang Din, lokap di sebelah ada 11 orang Cina, penyokong Partai Buruh, yang juga ditahan di bawah ordinan yang sama. Mereka ini telah hampir dua bulan ditahan tanpa sebarang tuduhan. Pintu penjara hanya dibuka dua kali sehari. Pukul 8 pagi, ia dibuka untuk membawa keluar tong najis. Waktu ini semua tahanan mengambil peluang untuk membersih diri. Bilik mandi dan tandas sengaja dibuat tanpa pintu. Pada hari pertama, kepada mereka yang tidak berpengalaman, pasti akan berasa janggal tetapi di hari kedua berbogel dan mencangkung di dalam tandas di hadapan teman-teman menjadi satu kemestian. Akhbar berlubang di penjara Kali kedua pintu dibuka pada sebelah petang. Ia dibuka agak lama sedikit. Pada waktu ini kami berkumpul dan bertukar-tukar cerita. Kami juga meminta akhbar dari warden kerana kami tahu ini adalah hak kami. Maka terpaksalah warden mengambil akhbar di pejabat. Saya dapati banyak halaman akhbar telah dipotong. Ini bermakna kami tidak tahu langsung apa-apa berita yang sedang berlaku di luar. Dua hari kemudian, pada waktu malam kami dipindahkan ke bilik penjara untuk banduan yang sedang menjalani hukuman. Kali ini, tiga orang untuk sebilik. Saya, Yunus dan Syed Hamid dimasukkan ke dalam sebuah bilik. Kami tidak tahu kenapa pihak penjara membuat perubahan ini. Tapi esoknya di waktu pagi kami ternampak lima orang kawan, termasuk seorang mahasiswa dari Universiti Singapuara, dibawa keluar dari bilik tahanan. Mereka hanya sempat melambai-lambai tangan. Kami langsung tidak dapat bertemu atau bercakap dengan kawan-kawan kami yang ditahan, jadi kami terus tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar. Kami hanya membuat andaian bahawa telah ramai orang ditangkap. Hari keempat di dalam tahanan, bapa saudara saya Amajal, tuan punya restoran di hadapan kampus Universiti Malaya, dan sepupu saya telah datang melawat. Mereka membawa berita bahawa kampus Universiti Malaya sedang bergolak. Tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat yang teliti. Dalam masa yang sama, perbualan kami agak terhad kerana seorang warden tercegat berdiri di hadapan meja kami. Seminggu kemudian kami pun dibawa kembali ke mahkamah. Kali ini lebih ramai orang telah datang untuk mendengar perbicaraan ini berbanding hari kami ditangkap. Wartawan-wartawan dari luar negara, termasuk Singapura, telah mula berkerumun. Di bilik mahkamah saya ternampak ibu, ayah dan datuk saudara saya telah duduk di ruang orang ramai. Kami dibicarakan dan diberikan ikat jamin diri dengan menandatangani perjanjian bahawa kami akan hadir pada 2-3 April 1975, tahun hadapan. Sebaik sahaja keluar dari mahkamah saya terus menemui kawan-kawan dan orang ramai yang berpusu-pusu mengelilingi kami. Saya tidak ada pilihan, terus berdiri di atas kerusi dan memberikan ucapan (foto atas). Universiti dirampas tanda protes Saya diberitahu "perkampungan" baru kami di Bukit Timbalan telah dirobohkan. Barang-barang, khemah, termasuk wang kutipan derma lebih 2000 ringgit telah dirampas. Seramai 44 orang peneroka ditangkap. Satu lagi berita yang menyedihkan ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), telah diharamkan pada 22 September 1974. Saya menjadi Setiausaha Agungnya dan baru saja mengangkat sumpah sebagai Presiden majlis ke-17 badan pelajar itu. Kawan-kawan saya yang datang dan tertangkap di Johor Bahru - Adi Satria, Khoo Soo Wan, Bhaskaran dan Hassan Karim cuba menerangkan apa yang terjadi selama satu minggu saya ditahan. Pada awalnya saya tidak dapat memahami apa yang telah berlaku. Kini, saya sedar kenapa akhbar di dalam penjara banyak yang terpotong-potong muka surat beritanya. Esoknya saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan terus ke bangunan nombor 37, Jalan Abdullah, Bangsar. Saya menumpang di rumah Abu Yacob, wakil Al-Fatah (PLO), yang telah berkahwin dengan kenalan saya Rohana Ariffin. Petang itu secara kebetulan saya bertemu dengan seorang anak muda terpelajar yang baru pulang dari Universiti Australia, Abdul Ghani Othman (sekarang Menteri Besar). Ghani singgah di rumah ini kerana kenalannya, Jamilah Ariffin ialah adik Rohana. Kerana Ghani merupakan anak Johor, maka dia begitu tertarik untuk mendengar "berita" Tasek Utara daripada saya. Bulan September 1974, kira-kira 25 tahun dahulu telah menjadi sebahagian dari sejarah perjuangan mahasiswa tanah air. Kesedian para mahasiswa untuk membantu dan menolong penduduk miskin kota adalah tanda setiakawan anak-anak muda pada zaman itu terhadap mereka yang ditindas dan dianiaya. Tasek Utara telah menjadi sebahagian daripada mitos, legenda dan ingatan kolektif generasi saya. Ketika ini, 25 tahun dahulu saya sedang ditahan di Air Molek. Ribuan pelajar dari UM telah mengadakan demonstrasi di pejabat Perdana Menteri, meminta supaya tuntutan para setinggan dilayan dan kami dibebaskan. Kerana gagal atas tuntutan mereka, para mahasiswa di bawah pimpinan Kamaruzaman Yacob telah merampas Universiti Malaya pada 21 September 1974. Rampasan ini sebagai tanda bantahan mereka kerana tindakan kerajaan yang ganas terhadap setinggan Tasek Utara. Terbiar selepas 25 tahun Hari ini, saya mengingatkan kembali masyarakat umum terhadap Tasek Utara. Saya juga ingin mengingatkan kawan-kawan saya yang sama berjuang mempertahankan hak penduduk miskin kota bahawa pennduduk Tasek Utara masih lagi belum mendapat rumah yang mereka tuntut. Kira-kira 200 keluarga Tasek Utara yang berkhemah di Bukit Timbalan, 25 tahun dahulu, masih lagi tinggal di rumah panjang di pinggir Johor Bahru. Johor telah menerima empat Menteri Besar tetapi masalah peneroka Tasek Utara, semuanya Melayu, masih gagal diselesaikan. Apabila saya menulis surah ini, saya tidak mempunyai apa-apa jawapan kenapa hal ini berlaku. Segala ilmu pengetahuan yang saya pelajari dan pengalaman yang ada pada saya tidak dapat menerangkan kenapa ini terjadi. Foto-foto yang masih tersimpan kini menjadi arkib sejarah. Gambar-gambar yang saya tatapi 25 tahun kemudian mengembalikan kepada detik-detik keremajaan saya. Setiap kali saya menatapi gambar-gambar ini, saya bertanya di manakah kawan-kawan saya ini sekarang? Ribuan pelajar yang berdemonstrasi kerana Tasek Utara, di manakah mereka hari ini? Apakah mereka tahu bahawa penduduk itu masih menumpang di rumah panjang? Artikel Oleh Hishamuddin Rais Dipetik Dari Laman Web Akhbar Internet MalaysiaKini.com 21 Sept 2000 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

HISHAMUDDIN RAIS, bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), pernah ditahan polis dalam kejadian "demonstrasi siswa di Tasek Utara." Beliau kini penulis kolum mingguan DOTMAI di malaysiakini.

ęCynari Creation 2000